Sejarah Keris



Keunggulan ‘Melayu’ bukan sahaja tertera kepada erti dan pemahaman apa itu ‘Melayu ‘, mindanya, jiwanya, akal budi ‘Melayu’nya, cara jalannya, bahasanya, ketawanya, pegangan hidupnya, falsafah ‘Melayu’nya, mahupun kesusasteraan dan persuratannya. Namun Melayu itu turut dilambangkan dengan hasil tukang seninya. Mungkin kita jarang menyedari atau tidak mahu menyedari bahawa sekecil-kecil tukangan seni Melayunya tetap melambangkan ‘apa itu Melayu’. Artikel ini tidaklah membawa gagasan besar untuk dibicarakan secara penuh ilmiah tentang peradaban dunia Melayu melainkan suatu usaha untuk meneroka sikap, minda, dan jiwa bangsa cucu-cicit Tun Tuah ini yang dcitrakan dengan hasil seni tukangan waima sekecil-kecil ukiran batu cincin yang tersarung di tangan Melayu itu sendiri.

Masyarakat Melayu terkenal dengan hasil kesenian pertukangannya. Antara hasil keseniannya ialah keris yang merupakan sejenis senjata pendek pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Keris dianggap sebagai senjata yang mempunyai martabat, penuh kekeramatan dan nilai estetika yang begitu tinggi. Selain digunakan sebagai senjata untuk menikam musuh, keris juga dianggap sebagai salah satu alat atau lambang kebesaran bagi raja-raja yang memerintah.

Merujuk kepada Kamus Dewan (edisi tiga), keris didefinisikan sebagai ‘sejenis senjata bermata dua yang tajam (bilahnya lurus dan berlok-lok). Dari aspek terminologi pula, perkataan keris mungkin berasal daripada dua frasa iaitu ke (imbuhan) dan hiris (kata kerja) yang seterusnya membentuk kata nama keris iaitu sejenis alat untuk memotong sesuatu atau menikam. (Mawar Shafie, Dewan Budaya, 1996).

Berdasarkan Profesor Madya Dr. Zainal Abd. Latif melalui pembentangan kertas kerja ‘Mengenal Melayu dan Pemikirannya Melalui Seni Pencak Silat (Jun 2000), keris dimaksudkan ‘sejenis senjata tikam yang dipercayai telah wujud sebelum abad ke-14 dan dianggap sebagai sebahagian daripada artifak budaya Nusantara’.Manakala Tuan Hj. Zaabar Yusof memberi gambaran umum keris sebagai ‘sejenis senjata pendek yang berkait rapat dengan warisan budaya bangsa Melayu’. (Keris Dalam Perfektif Islam, 1999: 37).

Dilihat dari sudut dialek rumpun Melayu Nusantara pula, dalam bahasa Krama-Inggil keris disebut duwung. Dalam bahasa Jawa (Kawi) senjata ini dipanggil cirigo. Manakala dalam bahasa Kemboja pula disebut kroes. Berdasarkan fakta kajian Mobeirman (1980) Keris Jawa Demam antara keris yang terkenal di Nusantara disebut sebagai Kocit-Kocitan.
Walaupun pelbagai makna dan istilah yang diberikan, konklusinya keris tetap dianggap sebagai salah satu senjata orang Melayu yang tinggi hasil tukangan, kesenian, dan darjatnya serta diperhalus seni permainannya yang penuh berahsia dalam pergerakan silat Melayu.

ImageMenyingkap daripada sudut sejarah, keris dianggap telah wujud semenjak 650 tahun dahulu. Para penyelidik terutama daripada golongan Orientalis Barat seperti G.C Woollsy, Stamford Raffles, Griffith Williams banyak mengemukakan teori serta pendapat mengenai kajian mereka dan sebahagian besar daripada mereka bersetuju bahawa keris telah wujud sebelum abad ke-14.
Sir Stamford Raffles mendakwa arca di Candi Suku di Pulau Jawa menunjukkan keris telah dibuat oleh manusia pada sekitar tahun 1361 hingga 1362. Walau bagaimanapun, pendapat ini ditentang oleh Crawford melalui pendapatnya yang menyatakan arca itu hanyalah gambar pedang dan lembing. Beliau juga berpendapat keris telah diperkenalkan oleh Inarkato Pati, Raji di Janggolo pada kurun ke-14.

Dr. Van Stein Callenfels pula mengemukakan teori kewujudan keris pada sekitar kurun ke-7 melalui ciptaan Keris Majapahit. Teori dan pendapat yang dikemukakan oleh golongan penyelidik ini tentang sejarah keris masih tidak sekata. Hal ini telah terbukti apabila Griffith Williams pula menyatakan senjata pendek ini dicipta pada kurun ke-14 dan kurun ke-15.

Wooley pula mengatakan bahawa keris dicipta pada zaman Majapahit dan berlaku penyebaran ciptaan senjata ini oleh masyarakat lain yang berada di bawah kekuasaan Majapahit. Kejatuhan empayar Majapahit menyebabkan rakyatnya merantau dan meneroka ke kawasan-kawasan lain di gugusan kepulauan Nusantara dengan membawa tradisi keris yang kemudiannya diubah suai mengikut kesesuaian setempat. Walaupun pelbagai teori dikemukakan mengenai asal-usul senjata agung Melayu ini, namun belum dapat menjawab persoalan bila dan di manakah sejarah keris bermula dengan pasti hingga kini.

Sejarah senjata terunggul Melayu ini juga tidak dapat dipisahkan daripada kisah-kisah magis, jelas membuktikan keris mempunyai kuasa kepahlawanan, ketuanan, dan kesaktian yang mengagumkan. Dahulu, keris dijadikan senjata peribadi sebagai penentu kuasa dan kudrat si ‘pemakainya’. Seni ukiran yang terpahat pada senjata ini turut memaparkan isi-isi cerita yang berunsur mistik, legenda, dan mitos yang tersendiri. Kisah mistik dalam keris yang digambarkan seperti keris boleh terbang sendiri ditafsirkan mencari atau menemui pemohon baru. Kisah keris yang ghaib dari sarung pula dikonsepkan sebagai haus akan darah manusia. Cerita keris milik Kiai Condong (Majapahit) dikatakan boleh bersikap ‘amuk’ bertujuan membunuh lawan dan kawan tanpa disertai pemilik keris itu. Keris pertama yang dinobatkan kepada Hang Tuah pula, dikatakan diperbuat daripada dua puluh satu jenis besi yang berasal dari berlainan tempat. Kisah keris pahlawan Melayu ini kononnya, mampu membunuh mangsanya apabila mata keris tersebut ditikam pada bekas telapak kaki yang ditinggalkan oleh mangsa di atas pasir, dan boleh meracun ikan di muara jika keris itu dicuci di muara sungai tersebut oleh tok gurunya.

Komentar

Postingan Populer